Tuesday 17 May 2011

PAS Bersama PR, Umno Rugi Melayu Untung

Sejak PAS bersama dengan Pakatan Rakyat, maka terdapat suara sumbang supaya PAS jangan bersama PR,  barulah kami akan sokong PAS. Persoalannya ketika PAS bersendirian pun puak ini tidak  menyokong PAS juga. Ini hanya golongan mencari alasan sahaja. Sebenarnya mereka ialah orang yang diperalatkan oleh Umno termasuk melalui doktrin yang  dibawa melalui Biro Tatanegara. Berbagai  alasan supaya PAS keluar daripada PR, barulah dapat melaksanakan agenda Islam yang lebih terancang, sehingga pipi tersorong-sorong untuk menyuruh PAS berpakat dengan Umno. Sengaja saya meletakkan tajuk ini supaya menjelaskan bahawa Melayu tidak rugi kalau menjauhkan diri daripada Umno. Selama ini pemimpin umno,  menganggap  Umno sahaja boleh menjaga melayu. Sebenarnya yang rugi bila PAS bersama PR ialah Umno.
Umno rugi kerana tidak dapat memfaraid harta rakyat dengan rakus. Terutama negeri-negeri yang kaya seperti Selangor. Memerintah Selangor seperti memerintah Malaysia kerana di sini ialah lubuk emas. Pemimpin Umno teringin untuk mendapat Selangor sehingga meleleh air liur apabila mengenangkan banyak projek yang selama ini diperolehi oleh suku sakat meraka sudah tidak ada lagi. Selangor ialah sebuah negeri industri, pelabuhan, lapangan terbang dan pusat pengajian tinggi. Jika PAS tidak bersama dengan PR sudah tentu pemimpin Umno  menjadi korporat, Melayu merempat.

Umno rugi tidak boleh mematikan majlis ilmu yang diimarahkan di seluruh masjid negeri Pakatan Rakyat. Mereka mengetahui apabila rakyat berilmu dan beragama maka tidak ada harapanlah untuk bersama dengan Umno. Apabila rakyat memahami Islam yang syumul maka rakyat akan mengetahui bahawa Islam yang dihayati oleh Umno tidak menepati dengan kehendak agama yang disampaikan oleh Rasulullah SAW.

Melayu untung bila bersama dengan Pakatan Rakyat kerana dapat mendampingi ulamak yang muttaqin yang sering menyampaikan risalah Islam di masjid dan surau. Samaada melalui ceramah, forum, kuliah dan wacana ilmu. Selama ini  orang Melayu dijauhkan dengan ulamak yang muttaqin. Ulamak diburu seperti komunis bintang tiga. Rakyat Selangor tidak  akan lupa bagaimana Dato' Dr Harun  Din, almarhum Datuk Ishak Baharom bekas mufti kerajaan Selangor diburu dan hendak ditangkap semata-mata kerana hendak  menyampaikan risalah agama. Sebenarnya Umno yang rugi kerana gagal menjauhkan rakyat   dengan ulamak yang muttaqin. Walaupun mereka cuba mempopularkan ulamak mereka melalui media namun selera rakyat tetap tidak  beralih kepada ulamak yang Umno taja. Umno rugi kerana ulamak yang muttaqin ini tidak bersama dengan Umno dan tidak sealiran dengan perjuangan Umno, sebaliknya ia lebih selari dengan perjuangan PAS.

Melayu untung kerana dapat menikmati limpahan nikmat yang dikurniakan oleh Allah SWT di negara ini kerana Pakatan memerintah negeri mereka. Selama ini rakyat tidak pernah terfikir mendapat air percuma setiap bulan. Apabila mati waris mendapat wang RM2500. Malahan rakyat yang diperintah oleh Umno begitu cemburu dengan apa yang diperolehi oleh rakyat di negeri PR. Pemimpin Umno tidak pernah terfikir untuk memberi kembali kepada rakyat, yang paling menyedihkan rakyat, apa sahaja program yang dibuat oleh negeri Pakatan Rakyat maka mereka menuduh negeri tersebut akan bankrap. Umno merasa rugi kerana lebihan wang negeri di kembalikan kepada rakyat. Selama ini wang ini akan masuk ke dalam kantong mereka sendiri, dengan membiarkan rakyat hidup susah. Kesusahan rakyat  akan menjadi simpanan tetap Umno setiap kali pilihanraya. Melayu yang senang tidak bersama dengan Umno. Sekarang Melayu senang , pemimpin Umno yang susah.

Melayu untung dapat menyampai dakwah Islam secara bebas menepati dengan manhaj Rasulullah SAW tanpa sekatan. Lebih daripada itu Islam dapat dilihat oleh orang bukan Islam secara praktikal, bukan sahaja teori. Bagaimana rakan-rakan PR yang bukan Islam begitu berminat untuk mengetahui ajaran Islam, fenomena ini berbeza dengan MCA rakan karib Umno walaupun sudah bersahabat hampir 54 tahun tetapi tidak memahami Islam dan sensitiviti orang Islam. Keceluparan mulut Dr Chua Saw Lek adalah bukti gagalnya Umno mendidik rakan politik mereka. Ucapan beliau yang mengguris  perasaan orang Melayu seperti memperlekeh Cikgu Normala Sudirman yang tidak mahu bersalam dengan lelaki yang bukan mahram. Ketika isu ini dibangkitkan maka rakan-rakan bukan Islam dalam PR tolong menjelaskan kepada orang bukan Islam. Inilah manfaat yang cukup berharga diperolehi oleh orang Melayu apabila berjaya menyampaikan Islam kepada bukan Islam. Suasana ini tentulah merugikan Umno, kerana mereka berusaha untuk memastikan supaya orang bukan Islam tidak nampak kebaikan Islam, dengan ini mudah untuk mereka mengekalkan kuasa mereka.

Melayu untung kerana mereka boleh berniaga berdasarkan merit dan kebolehan bukan berdasarkan di mana kamu menjadi ahli cawangan Umno. Trend perniagaan ini telah ditamatkan di bawah Pakatan Rakyat. Keadaan ini merugikan Umno, selama ini mereka hanya bertindak sebagai broker dengan memakan persen sahaja bukan kerana kebolehan mereka. Akhirnya projek kepentingan negara hangus dan hancur kerana diberi kepada bukan ahlinya. Buat stadium runtuh, kapal selam tidak boleh menyelam, jambatan MRR2 retak, semuanya angkara kroni Umno.

Melayu untung kerana dapat melihat orang agama mentadbir negeri dengan baik dan teratur. Selama ini Umno ajar orang Melayu, bahawa ustaz atau Tuan Guru hanya boleh membaca kitab di dalam masjid. Kemampuan Tuan Guru Nik Aziz yang memerintah Kelantan lebih 20 tahun walaupun mempunyai kekangan kewangan namun lebih berjaya daripada negeri yang diperintah oleh Umno. Begitu juga kemampuan Datuk Seri Ustaz Azizan Razak yang telah menunjukkan rekod cemerlang menguruskan Kedah walaupun terpaksa memikul bebanan hutang peninggalan BN RM2.3 bilion. Apa yang mengejutkan Kedah telah menunjukkan prestasi kewangan dengan lebihan RM19 juta untuk kewangan 2010. Negeri yang diperintah oleh Umno, pengurusan kewangan mereka boleh diletakkan di dalam Wad "ICU". Jika sekiranya tanpa bantuan pusat mungkin  rakyatnya akan dilelong.
Melayu untung apabila PAS bersama dengan PR, kerana taraf hidup rakyat berjaya ditingkatkan. Kebetulan rakyat miskin di negara ini majoriti rakyatnya ialah orang Melayu. Kelantan sewaktu tahun 1990, negeri ini nombor dua termiskin, sekarang berada di tangga keenam. Ini menunjukkan PAS akan berusaha untuk memastikan kualiti hidup rakyat lebih terbela. Ia berlainan daripada tindakan Umno yang mengkhianat orang susah kebetulannya orang Melayu. Rakyat miskin akan menjadi simpanan tetap Umno setiap kali pilihanraya. Tidak hairanlah kepada kita bagaimana miskin memang dirancang supaya rakyat sentiasa di tahap miskin. Buktinya wang untuk Projek Perumahan Rakyat Termiskin sebanyak RM32 juta lesap. Dana untuk saham bumiputera sebanyak RM52 bilion telah lesap. Dana sebanyak ini membolehkan bumiputera memiliki ekuiti saham lebih 45 peratus.

Saturday 14 May 2011

GST, Kerajaan BN Tidak Mampu Urus Rakyat

Parti Islam Se-Malaysia tetap membantah GST yang akan diperkenalkan oleh kerajaan. Tindakan ini melambangkan kerajaan BN, gagal memberi keselesaan kepada rakyat dan lari daripada tanggungjawab sebagai sebuah kerajaan. Apakah tugas kerajaan  hanya menaikkan cukai sahaja, sedangkan kualiti hidup rakyat semakin teruk seperti perkhidmatan awam yang tidak pernah selesai, subsidi gula, minyak dipotong menyebabkan hidup rakyat semakin tertekan.
PAS bersetuju dengan pandangan Pensyarah Kanan Pengurusan Strategik Kolej Perniagaan, Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Haim Hilman Abdullah berkata, biarpun GST mampu meningkatkan pendapatan negara, kemampuan rakyat menghadapi tekanan harga barang yang lebih tinggi juga perlu diberi perhatian.

Apakah Datuk Seri  Najib tidak terfikir hanya 2 juta rakyat negara ini yang layak membayar cukai. Bagaimana manfaat yang didapati oleh majoriti rakyat,  terutama rakyat miskin yang tidak membayar cukai. Maknanya manfaat pengurangan cukai hanya kepada pembayar cukai, sedangkan GST semua terbeban kerana tidak ada pengecualian ketika membeli barang keperluan.

Tidak cukup lagikah wang kerajaan yang diperolehi melalui cukai perkhidmatan yang dinaikkan daripada 5% kepada 6%. Setiap pemegang kad kredit wajib dikenakan membayar RM50 untuk setiap kad.

PAS menegaskan jika kerajaan BN tidak mampu menjaga kebajikan rakyat, sila serahkan kuasa kepada Pakatan Rakyat yang terbukti dan teruji. Jika Datuk Seri Najib dan rakan-rakan BN hanya hendak menyusahkan rakyat lebih baik berundur secara terhormat.