Monday 22 August 2011

Hakim gagal pastikan perbicaraan adil- Anwar


KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd Zabidin Mohamad Diah gagal memastikan perbicaran adil dalam kes fitnah II yang dihadapinya.
Menurut Anwar, ia berdasarkan keengganan Mohd Zabidin memerintahkan pendakwa menyediakan bukti untuk pasukan peguam bela sebelum perbicaraan berlangsung.
“Kegagalan anda untuk melaksanakan budi bicara kehakiman dengan memerintahkan pendedahan itu bukan sahaja bertentangan dengan undang-undang Malaysia tetapi  melanggar piawaian antarabangsa di sebuah negara moden untuk melaksanakan kedaulatan undang-undang,” kata Anwar ketika membela diri hari ini.
Beliau merujuk keengganan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, isterinya Datin Seri Rosmah Mansor, bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan bekas Ketua Polis Melaka, ASP Mohd Rodwan Mohd Yusoff hadir ke mahkamah sebagai saksi.
Menurut Anwar, penglibatan saksi-saksi berkenaan secara terang-terangan direkodkan oleh testimoni pengadu, Mohd Saiful Bukhari Azlan dan diakui oleh kenyataannya kepada media.
Menurut Anwar lagi, keputusan hakim menyatakan Saiful sebagai saksi berwibawa ketika akhir kes pendakwaan, secara jelas menunjukkan proses pra-penghakiman yang bias terhadap beliau.
“Anda tiba di kesimpulan yang pengadu ialah seorang saksi yang benar tanpa mendengar bukti dari pembelaan yang akan menyebabkan perbicaraan ini menjadi sia-sia.
“Ia tidak dapat dipertahankan dan undang-undang tidak membenarkan apa yang ada telah lakukan,” kata Anwar.
Anwar juga berkata, keterangan Saiful yang mengadu kepada doktor perubatan tentang serangan seksual itu tidak disertakan dengan penemuan klinikal yang  menunjukkan bukti berlaku penembusan.
Tambah Anwar, hakim juga gagal mempersoalkan mengapa pendakwa tiada alasan yang jelas untuk memanggil doktor pertama dari Hospital Pusrawi yang memeriksa Saiful supaya memberi keterangan.
“Anda menerima tanpa keraguan bukti forensik sebagai menyokong  pengadu dalam keadaan terdapat jelas kebimbangan tentang bagaimana contoh- contoh itu telah diperolehi, dilabelkan, disimpan dan dianalisis,” kata Anwar.

Tuesday 16 August 2011

KEADILAN Desak Najib Bentang Kertas Putih Isu Felda


Kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kini semakin diasak dengan isu yang dibangkitkan Pakatan Rakyat mengenai rizab tunai Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) yang menjunam sebanyak RM2.37 bilion dalam tempoh lima tahun dan beberapa keputusan pelaburan yang menyebabkan Felda menanggung kerugian.

Tidak cukup dengan tindakan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan bermatian mempertahankan status kewangan Felda, isu itu akhirnya mendesak Najib bersuara akibat tekanan politik terhadap beliau.
Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul berkata, kerajaan pimpinan Najib perlu membentangkan kertas putih di parlimen bagi menjelaskan isu membabitkan kerugian yang dialami Felda.

"Kalau betul kerajaan telus, kita minta kerajaan bentangkan kertas putih di parlimen tentang apa sebenarnya yang berlaku terhadap kewangan Felda. Ini kerana kita ada bukti yang tunjukkan bahawa sebelum Felda diambil alih oleh Najib (di bawah Jabatan Perdana Menteri) dan sebelum diambil alih oleh Ahmad Maslan, 'fixed deposit' Felda amat besar, tetapi kini 'fixed deposit' Felda menjadi terlalu kecil," tegas beliau ketika dihubungi Suara Keadilan.

Menurutnya, beliau sendiri akan menulis surat kepada Jawatankuasa Wang Kira-Kira Awam untuk menggesa isu kerugian yang ditanggung Felda disiasat.

"Kita bukan nak menuduh sesiapa, tetapi apa yang seolah maklumat yang bercanggah. Kita tidak yakin tindakan dan penjelasan kerajaan betul kerana banyak perkara yang mengelirukan. Ini berdasarkan kenyataan yang dibuat Ahmad Maslan sendiri di parlimen saya masih ingat lagi pada 16 Jun lalu yang menyatakan rizab tunai Felda berkurangan dari RM4.08 bilion kepada 2004 kepada RM1.35 bilion pada 2009.

"Ini bermakna rizab tunai menjunam sebanyak RM2.37 bilion dan selain itu juga disebut pembinaan menara Felda pada 2008 yang menelan ratusan juta ringgit. Perkara ini, kerajaan patut berikan sebab," tegas beliau.
Beliau mengulas kenyataan Najib semalam yang mendakwa kononnya tuduhan terhadap Felda bankrap seperti yang dilaporkan dalam akhbar Suara Keadilan satu pendustaan, malah merupakan satu penghinaan kepada seluruh warga peneroka di seluruh negara.

Najib juga berkata tuduhan itu merupakan penghinaan kepada sebuah institusi yang selama ini telah banyak berjasa kepada masyarakat Melayu dan penduduk luar bandar sejak 50 tahun lalu.
Mengulas lanjut Johari berkata, isu yang ditimbulkan bukan bemaksud untuk menghina institusi itu dan masyarakat Felda amnya, tetapi memberikan penjelasan dan menjawab isu berkenaan.

"Felda ialah milik peneroka dan anak-anak mereka yang telah memberikan khidmat dengan segala bentuk pengorbanan. Soal yang kita bangkitkan bukan soal penghinaan tetapi kita nak tahu kedudukan sebenar kerana kita tidak mahu nasib Felda serupa seperti yang dialami Sime Darby, Pos Malaysia dan syarikat GLC lain yang menanggung kerugian.

"Sebagai parti (pembangkang) yang bertanggungjawab, kenapa kerajaan nak melompat? Tak payah melompat, kalau perkara itu tidak betul, jawablah. Kita dalam Pakatan Rakyat mempunyai maklumat berdasarkan apa yang kita ada dan tugas kerajaan hanya menjawab sekiranya dakwaan itu tidak betul. Tidak perlulah sampai nak melompat (saman).

"Kita sebagai pembangkang mestilah kita mahu bongkar berdasarkan maklumat yang kita ada, kita sebut kerana kita mahu kerajaan jelaskan isu ini. Biarlah rakyat yang tentukan siapa betul dan siapa salah," kata Johari lagi.

Ditanya mengenai pendedahan ahli jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Husam Musa di laman blognya beberapa hari lalu yang mengaitkan syarikat kroni milik Umno dengan beberapa projek pembangunan Felda, beliau turut terkejut dengan pendedahan itu dan mahu kerajaan menjawab dakwaan berkenaan kerana ia merupakan dakwaan yang cukup serius.
"Ini satu dakwaan yang berat,  bukan keluar dari mulut ketua cawangan PAS, tetapi seorang pemimpin besar PAS yang sudah pasti beliau mempunyai maklumat tentang dakwaannya. Kerajaan perlu jelaskan perkara ini," tegas beliau.

Antara projek yang dikatakan dianugerahkan kepada firma berkenaan adalah kawasan perumahan dan komersial di Feldajaya iaitu sebuah projek pembangunan untuk generasi kedua peneroka Felda.

Laporan media mendakwa projek tersebut diserahkan kepada firma arkitek W&W yang dimiliki Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Chandan dan seorang ahli pemuda Umno Bahagian Besut, yang dikenali sebagai Wan Burhanuddin Wan Hassan yang memiliki hubungan rapat dengan seorang pegawai atasan Felda di Terengganu.

Menurut Husam, projek tersebut bukan sesuatu yang dibanggakan berikutan lokasinya yang tidak sesuai dan harga kosnya yang terlalu tinggi menyebabkan ia menjadi sebahagian projek gajah putih.

Selain Feldajaya Trolak, terdapat tiga projek seumpama itu di Chini, Serting dan Mempaga yang menelan kos RM152 juta.
Husam juga mendakwa bayaran kepada arikitek berkenaan tidak jelas dan mungkin menjangkau RM500 bilion termasuk pembinaan Maktab Rendah Sains Mara Trolak dan kolej komuniti di Terengganu dan Sabah.


Sumber: Suara Keadilan

Monday 15 August 2011

Pinjam KWSP RM6 bilion, Felda rugi: Anwar tuntut siasatan


KUALA LUMPUR: Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendesak siasatan dilakukan terhadap tindakan Felda meminjam sebanyak RM6 bilion daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP.
Anwar juga mempersoalkan pihak yang mengarahkan KWSP  meminjamkan jumlah yang begitu besar dan tidak pernah dibentangkan di parlimen.
Menurut Anwar, pihaknya percaya bahawa bayaran balik bagi pinjaman berkenaan akan ditangguhkan kerana kerugian yang ditanggung kumpulan Felda,  Felda Global Ventures.
“Kami juga percaya pelaburan luar negara yang dibuat oleh Kumpulan Felda dengan menggunakan wang yang dipinjam daripada KWSP itu semuanya mengalami kerugian,” kata Anwar ketika sidang media di lobi parlimen hari ini.
Anwar berkata, pelaburan tersebut yang dibuat menerusi Felda Iffco Sdn Bhd, Twin Rivers Technologies US, TRT-ETGO Canada, Felda Global Ventures Middle East dan juga Felda Global Ventures Arabia semuanya mencatatkan kerugian terkumpul daripada tahun 2007 hingga 2010 hampir RM500 juta.
Menurutnya lagi, pihaknya juga difahamkan bahawa pelaburan yang dibuat di Twin Rivers Technologies AS, sebuah kilang minyak dan lemak di AS, adalah pelaburan terburuk yang pernah dibuat dalam sejarah korporat Malaysia- dengan Pelaburan awal sebanyak RM175 juta.
“Kami difahamkan selepas Felda Global Technologies memperoleh Twin Rivers Tecnologies US, Bank of America telah menuntut USD100 juta pinjaman kepada Twin Rivers Technologies US, sehingga Felda Global harus mengambil RM300 juta pinjaman dari CIMB untuk membayar kepada Bank of America.
“Difahamkan juga Felda Global telah menghabiskan sebanyak RM600 juta untuk kilang penghancur di Kanada di bawah anak syarikat Twin Rivers Technologies US, TRT ETGO Kanada, yang sampai sekarang tidak pernah membuat sebarang keuntungan,” katanya lagi.
Beliau dalam masa sama menimbulkan persoalan samada Felda Global telah membuat pinjaman daripada TRT ETGO Kanada sekitar RM100 juta.
Anwar berkata, sekiranya benar  Felda telah meminjam sebanyak RM6 bilion daripada rakyat melalui KWSP,  Pakatan Rakyat menuntut siasatan dilakukan, sama seperti penyiasatan yang dibuat ke atas Sime Darby.
Menurutnya, siasatan juga perlu dilakukan terhadap pengurusan Kumpulan Felda seperti Ketua Pegawai Strateginya, Suzana Wati Idayu Othman dan lembaga pengarahnya, yang menyebabkan kerugian dalam semua pelaburan di luar negara.
“Mereka perlu bertanggungjawab di atas kecuaiaan mereka lakukan. Di bawah Akta Felda, keputusan pelaburan semua Kumpulan Felda pada dasarnya memerlukan kelulusan Menteri yang bertanggung jawab atas Felda, yang sejak tahun 2007, dijawat oleh Dato ‘Seri Najib Tun Razak.
“Sama ada kerugian dalam pelaburan itu telah didedahkan kepada Dato ‘Seri Najib atau tidak didedahkan kepada Dato’ Seri Najib oleh pihak pengurusan Global Felda, kerugian dalam pelaburan itu adalah tanggungjawab pengurusan Felda Global dan Dato ‘Seri Najib.
“Siasatan perlu dilakukan dan didedahkan kepada rakyat,” tegasnya.
sumber:keadilandaily.com

Saturday 6 August 2011

Bersih: Warga Indonesia jadi pengundi, SPR perlu beri penjelasan


KUALA LUMPUR : Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu memberi penjelasan berhubung dakwaan Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa 200,000 warga Indonesia telah didaftarkan sebagai pengundi.
Ahli Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah berkata demikian merujuk kenyataan Ketua Pembangkang itu di Manila, Filipina.
Akhbar The Phillipine Star melaporkan kenyataan Anwar bahawa selain Warga Indonesia, rakyat Filipina di Sabah juga dibenarkan mendaftar dalam senarai pemilih, bagi membolehkan mereka mengundi Barisan Nasional.
“SPR perlu menyiasat dan tampil memberi penjelasan atas dakwaan ini,”
“Jumlah 200,000 begitu besar dan jika benar mengapa beri mereka hak mengundi?,” kata Maria ketika dihubungi Keadilandaily.
Dalam masa sama, beliau juga mendesak SPR memberi penjelasan berhubung dakwaan kerajaan Pulau Pinang, bahawa 32,000 pengundi baru dikesan di negeri itu dalam tempoh hanya tiga bulan.
“SPR perlu menjelaskan kenapa ada peningkatan (pengundi) mendadak di Pulau Pinang, mereka perlu memantau perkara ini dan tidak boleh menutup mata,” katanya.
Sementara itu, Gabungan Bersih juga menuntut Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) agar tampil memberikan bukti dalam bentuk dokumen berhubung isu Mismah, pemegang status Penduduk Tetap (PR) yang didaftar sebagai pengundi baru.
Katanya, alasan JPN  bahawa ia adalah kesilapan teknikal dengan menukar status berkenaan kepada warganegara selepas empat jam didedahkan media, adalah tidak mencukupi.
“Saya minta JPN tampil kemukakan bukti dan bukan hanya mengeluarkan kenyataan (penafian),” tegasnya.
Keadilandaily difaham bahawa Bersih akan menghantar surat peringatan kepada SPR dalam masa terdekat.
“Sudah tiga bulan kita beri masa untuk SPR membersihkan daftar pengundi. Tapi masih lagi tiada perubahan.”
Maria pada masa sama memberitahu Bersih bakal menganjurkan bengkel kesedaran seluruh negara bagi menyedarkan rakyat tentang kepentingan reformasi pilihanraya  selepas Sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Tuesday 2 August 2011

Pakatan selamatkan RM200 bilion wang rakyat

Pakatan Rakyat akan berusaha menyediakan satu belanjawan yang baik bagi tahun 2011 untuk semua rakyat di negara ini, di samping menyelamatkan RM200 bilion wang rakyat yang tiris dalam belanjawan yang disediakan dan diibentangkan oleh kerajaan BN bagi tahun lalu.
Bagi mencapai matlamat itu, Pakatan Rakyat akan berusaha menyediakan belanjawan yang menekankan kesemua subsidi akan disalurkan terus kepada rakyat, khususnya golongan sasar, bagi menjadikan belanjawan itu benar-benar berguna kepada pelbagai lapisan rakyat negara ini.
Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu menjelaskan, belanjawan yang akan disediakan oleh Pakatan Rakyat itu adalah belanjawan yang turut menekankan tentang penyalahgunaan kuasa di kalangan pemimpin Umno BN, sehingga menyebabkan peruntukan subsidi RM200 billion untuk petroleum tidak sampai kepada orang ramai.
Menurut beliau, peruntukkan tersebut cukup besar. Ia sepatutnya sampai kepada sasaran, tetapi terjadi di sebaliknya ekoran sikap tidak bertanggungjawab para pemimpin Umno BN yang mengambil kesempatan untuk mendapatkan subsidi itu bagi kepentingan mereka sendiri.
Katanya, kejadian itu menyebabkan rakyat menjadi amat terhimpiit dengan kenaikan harga petrol dan diesel, walaupun mereka tidak sepatutnya menerima bebanan itu ekoran subsidi yang begitu besar yang telah disediakan oleh kerajaan.
"Begitu juga dengan subsidi bagi padi atau beras untuk petani. Walaupun subsidinya ada dan jumlahnya agak besar, tetapi para petani tetap juga tak dapat, tetap terus miskin dan hidup susah.
"Sebaliknya yang mendapat subsidi itu adalah orang yang dah kaya yang memiliki syarikat-syarikat besar terutama Bernas," katanya pada sidang media di pejabat Setiausaha Kerajaan Selangor (SUK) di sini, hari ini.
Sebelum itu, beliau bersama Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ahli Jawankuasa Kerja PAS Pusat yang juga Ahlli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzullkefly Ahmad, pemimpin PKR dan DAP telah mengadakan rundingan dengan ahli-ahli ekonomi utama di tanah air di tempat yang sama.
Rundingan tersebut diadakan bagi membincangkan pelbagai perkara berkaitan dengan ekonomi, termasuk langkah-langkah untuk mengatasi inflasi di negara ini, di samping mendapatkan pelbagai pandangan untuk digarap oleh Pakatan Rakyat dalam belanjawannya bagi tahun 2011 yang akan dibentangkan Oktober ini.
Pada sidang media bersamanya dengan Datuk Seri Anwar itu, Mohamad menjelaskan, belanjawan yang akan disediakan oleh Pakatan Rakyat itu akan turut menekankan langkah-langkah yang akan dilakukan di negeri-negeri yang berada di bawah Pakatan Rakyat untuk kepentingan rakyat.
"Langkah-langkah tersebut seperti yang terdapat dalam Buku Jingga. Antaranya termasuklah mengadakan skim kifalah bagi ibu tunggal seperti yang dilakukan oleh Kerajaan kelantan yang akan turut dilaksanakan di negeri-negeri Pakatan Rakyat lain termasuk Selangor, Kedah dan Pulau Pinang.
"Selain itu, kita juga akan turut menyediakan subsidi yang akan disalurkan terus kepada rakyat termasuk subsidi petroleum dan lain-lain subsidi sekiranya Pakatan Rakyat diberikan mandat memerintah negara pada pilhanraya umum akan datang," tegas beliau.


sumber :pas.com.my