Tuesday 28 February 2012

Projek Lembu: Kenapa Felda yang lebih layak diketepikan?- Rafizi


PETALING  JAYA 28 Feb: Pengarah Srategi KEADILAN, Rafizi Ramli mempersoalkan mengapa Pusat Fidlot Nasional tidak diserahkan kepada syarikat Felda yang lebih berkelayakan dan turut membida projek berkenaan.
Sebaliknya, kata Rafizi, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menganugerahkan kontrak itu kepada syarikat milik keluarga Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.
Menurut Rafizi, Najib perlu menjelaskan perkara ini kerana beliau mempengerusikan Jawatankuasa Pemilihan Syarikat peneraju bagi Pusat Fidlot Nasional yang menjemput enam syarikat, termasuk Felda Farm Product Sdn Bhd.
“Dari segi pengalaman, saiz kapital, pengurusan dan rekod industri, syarikat paling layak mendapat kontrak ini adalah Felda Farm Product Sdn Bhd,” kata Rafizi ketika sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN, di sini.
Dalam sesi pendedahan terbaru mengenai isu NFC itu, Rafizi turut menunjukkan profil syarikat-syarikat terlibat, yang diperoleh dari Suruhanjaya Syarikat Malaysia.
Beliau berkata, syarikat Agroscience Industries Sdn Bhd, yang mendapat kontrak berkenaan hanya ditubuhkan setahun sebelum kontrak dianugerahkan.
“Ini menunjukkan lantikan Agroscience Industries Sdn Bhd melalui proses yang tidak telus dan mengabaikan pertimbangan asas kewangan dan pengalaman yang dimiliki Felda Farm Products Sdn Bhd,”  jelas Rafizi.
Rafizi berkata, Najib harus mendedahkan minit mesyuarat jawatankuasa pemilihan dan menerangkan kriteria yang digunakan sehingga Felda Farm Products Sdn Bhd yang paling layak, diketepikan.
“Pelantikan Felda Farm Products Sdn Bhd pasti akan dapat meningkatkan lagi hasil pendapatan peneroka.
“Oleh itu, beliau harus memberi jawapan kepada ratusan ribu warga felda yang lebih layak, tetapi diketepikan hanya untuk keluarga menteri,”  ujarnya lagi.

Wednesday 15 February 2012

NFC: Menteri sahkan pecah amanah, namun tiada tindakan- Guan Eng



KUALA LUMPUR 15 Feb: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata, sehingga kini tidak ada sebarang tindakan diambil terhadap keluarga Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang didakwa menyalahguna dana National Feedlot Corporation (NFCorp).
Beliau berkata, pihak berkuasa juga gagal mengambil sebarang tindakan meskipun Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz mengesahkan NFCorp telah melakukan pecah amanah dan melanggar syarat pinjaman mudah kerajaan.
“Rakyat Malaysia kini menuntut untuk tahu mengapa SPRM dan pihak polis tidak bertindak terhadap mereka yang bertanggungjawab, apabila menteri undang-undang sendiri menyatakan skandal RM250 juta projek lembu dan kondo NFC merupakan pecah amanah,” kata Guan Eng dalam satu kenyataan.
Pada 22 Disember lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membentuk pasukan siasatan yang diketuai Pengarah Siasatan, Datuk Mustafar Ali bagi menyiasat skandal itu.
Manakala Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Syed Ismail Syed Azizan juga memberitahu pihak polis telah menyelesaikan siasatan dan menyerahkan semula kertas siasatan mereka kepada peguam negara.
“Dalam erti kata lain, telah banyak siasatan dan peralihan tanggungjawab, tetapi tiada sebarang tindakan diambil,” ujar Guan Eng.
Menurutnya lagi, Nazri dalam kenyataannya baru-baru ini juga mendedahkan kegagalan kerajaan untuk mengadakan tender terbuka bagi projek tersebut,yang menunjukkan berlakunya unsur penyelewengan.
                     

“Di negara-negara maju yang komited untuk memerangi rasuah, kegagalan untuk mengadakan tender terbuka adalah sama seperti perbuatan rasuah,” ujar Guan Eng.
Semalam, Nazri yang memegang portfolio undang-undang berkata, NFC melanggar syarat perjanjian pinjaman mudah dan melakukan pecah amanah apabila wang yang disalurkan kepada syarikat itu diguna untuk tujuan lain.
“Dana berkenaan telah diserahkan berdasarkan projek yang diserahkan kepada NFCorp, yang mana mereka harus menternak lembu dan menjualnya dengan kadar yang lebih rendah.
“Pinjaman itu diberikan hanya bagi tujuan itu. Sekiranya dana itu digunakan bagi tujuan lain, kita tidak perlukan peguam untuk mengetahui samada berlaku pecah amanah atau tidak, sangat mudah,” katanya seperti dilapor The Malaysian Insider.


Thursday 9 February 2012

Kelantan sedia lepaskan Salahuddin

KOTA BHARU, 9 Feb: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, bersedia melepaskan Naib Presiden Salahuddin Ayub (gambar)sekiranya Johor memerlukan beliau walaupun keberatan.

Tuan Guru berkata, pucuk pimpinan parti bersedia memberi laluan kepada Salahuddin untuk bertanding di negeri Johor yang juga tempat kelahirannya pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) sekiranya Anggota Parlimen Kubang Kerian itu lebih diperlukan di sana.

"Saya sedia lepaskan dia (Salahuddin) bertanding di sana (Johor), jika PAS Johor betul-betul perlukan khidmatnya,” ujarnya.

Tuan Guru berkata demikian ketika diminta mengulas hasrat Pesuruhjaya PAS Johor, Datuk Dr Mahfodz Mohamed untuk menarik Salahuddin bertanding di negeri itu.

Selain itu, Nik Aziz juga berharap dengan perpindahan Salahuddin itu juga dapat mengukuhkan lagi kedudukan Pakatan Rakyat yang semakin diterima masyarakat di negeri itu.

“Apa-apa pun biar PAS Johor berbincang dahulu dan tentukannya.

“Jika itu adalah untuk kemenangan parti, kita kena lepaskannya,” katanya keberatan.

Nik Aziz berkata, di samping akur kepada keputusan pucuk kepimpinan beliau juga memberi ruang kepada Salahuddin bertanding di mana-mana kerusi yang bersesuaian.

Semalam,  Salahuddin dalam kenyataannya menyatakan kesediaan beliau untuk bertanding di mana-mana kawasan.

Bagaimanapun tidak bermaksud untuk menjadikan tawaran sebagai Menteri Besar sebagai matlamat utama perjuangannya dalam parti.

“Saya hanya menerima keputusan parti,”ujarnya semalam.